4 March 2013

iPhone 300 kali lebih baik daripada telefon pintar Samsung?


Satu kaji selidik terbaru tentang pasaran telefon pintar oleh firma kaji selidik, Strategy Analytics telah menunjukkan keputusan yang agak menarik untuk diperkatakan. Meski pun terdapat isu mengenai pembekuan pengambilan pekerja oleh Foxconn di China yang merupakan pusat pemasangan iDevice anda, jualan iPhone 5 dan iPhone 4S tetap melebihi pesaing terdekat mereka, Samsung Galaxy S III sepanjang suku ke empat 2012.

Ini menjadikan iPhone 5 sebagai telefon pintar yang mempunyai jualan tertinggi di dunia. Tidak cukup dengan itu, iPhone 4S yang sudah berusia 16 bulan juga telah memintas jualan Samsung S III. Fakta yang pastinya membanggakan para pencinta iDevice !

Menurut data dari Strategi Analystics, Apple telah menjual 27.4 juta unit iPhone 5 dan 17.4 juta unit iPhone 4S di dalam suku ke empat tahun 2012. Sebagai perbandingan, Samsung hanya berjaya menjual 15.4 juta unit Galaxy S III.


Para penyelidik bersepakat mengatakan kejayaan iPhone 5 menguasai pasaran telefon pintar adalah disebabkan rekaan skrin sesentuhnya yang maju, selain pengedaran meluas ke lebih 100 buah negara di seluruh dunia. Kerjasama bersama syarikat-syarikat pembekal telekomunikasi juga membantu dalam kejayaan besar iPhone 5 ini.

Jualan iPhone 5 dan juga iPhone 4S apabila di gabung menunjukkan penguasaan satu per lima daripada semua jenis telefon pintar yang diedarkan ke seluruh dunia di dalam suku ke empat tahun 2012. Samsung Galaxy S III berada di tangga ke tiga dengan jualan sebanyak 15.4 juta unit.

Melihat kepada trend pasaran semasa, ternyata kedua-dua buah model, iPhone 5 dan juga Galaxy S III telah mencapai puncak jualan dengan Samsung yang telah melancarkan modelnya itu pada Mei 2012 telah mencapai jualan tertinggi sewaktu suku ke tiga 2012.

Namun satu fakta yang menarik untuk dikongsikan ialah ini merupakan kali pertama Apple mendominasi pasaran dan mempunyai dua model iaitu iPhone 5 dan juga iPhone 4S yang telah menduduki tangga pertama dan kedua dalam carta jualan telefon pintar tertinggi.

Dalam satu lagi penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat teknologi FixYa mengatakan iPhone merupakan model telefon pintar paling dipercayai di dalam pasaran, mengatasi pesaing terdekatnya Samsung. Kajian tersebut mengatakan iPhone adalah 300% lebih dipercayai berbanding Samsung. Menarik bukan?

Ini menerangkan lagi mengenai penguasaan jualan Apple di dalam suku keempat tahun 2012. Kajian mendalam FixYa dalam hal ini juga mengukuhkan lagi dakwaan ini apabila syarikat tersebut telah mengambil kira sejumlah 722 558 laporan masalah bersama-sama dengan data mengenai pasaran saham dari StatCounter sebelum mengeluarkan skor 'keboleh-percayaan' ini - dan Apple jauh meninggalkan para pesaingnya.

Apple telah memperoleh skor sebanyak 3.47, hampir 300% lebih tinggi dari Samsung yang hanya memperoleh 1.21. Sementara itu, Nokia menduduki tangga ke tiga dengan skor sebanyak 0.68. Motorola pula menerima nasib sebaliknya apabila menduduki tangga terbawah dengan skor sebanyak 0.13.

Antara isu atau masalah yang sering dilaporkan mengenai Apple adalah tentang jangka hayat bateri manakala pengguna Samsung pula melaporkan masalah mengenai mikrofon dan speaker.

CEO FixYA, Yaniv Bensadon berkata keputusan kajian itu adalah "tepat dan adil dalam membandingkan syarikat-syarikat gergasi ini untuk melihat siapa yang lebih dipercayai dan siapa yang sudah terkeluar dari saingan."

Sumber : Redmond Pie
Sumber : idownloadblog

No comments:

Post a Comment