11 March 2013

Android Mudah Terdedah Kepada Serangan Malware


Seperti kita tahu bahawa Android adalah satu sistem pengoperasian yang sering menjadi bualan pada masa kini, dan ianya menjadi sasaran terhadap serangan malware. Menurut laporan oleh F-Secure, Android menyumbang sejumlah 79% malware pada tahun 2012, dan 66.7% pada tahun 2011. Pada tahun 2010, malware bagi Android hanya 11.25% sahaja. Malware Android telah mencatatkan satu rekod yang teruk pada suku ke empat pada tahun 2012. F-Secure memberi tahu bahawa suku keempat pada tahun 2012 telah berlaku 96% serangan malware terhadap Android. Menurut laporan tersebut, platform lain kecuali Symbian (pada 4%), tidak mengalami serangan malware langsung.



Dalam pada itu, sistem pengoperasian Apple, iOS merupakan sistem kedua terbesar di dunia dan kekal sebagai sistem pengedalian paling kurang diserang malware dengan 0.7%. Hal ini menunjukkan iOS lebih baik dari peranti Android dari segi keselamatan.

Symbian, merupakan sistem pengoperasian mudah alih berasal Finland dan digunnakan oleh peranti Nokia kini mengalami 19% daripada serangan malware berbanding 62.5% pada 2 tahun yang lalu. F-Secure menjangkakan Symbian akan pupus pada tahun 2013, dimana pengguna peranti Nokia akan menukar kepada peranti yang lebih popular iaitu Android. Dalam pada itu, Windows Mobile (WP), BlackBerry dan J2ME masing-masing memegang kurang daripada 1% daripada kesemua serangan malware dalam tahun 2012.


Berdasarkan analisis pasaran pada suku ke empat, jumlah tersebut tidak selari dengan jumlah pasaran untuk jualan pada masa kini. Hal ini disebabkan peralihan yang berlaku di mana Symbian terus merundum jatuh dan Android terus berkembang menyebabkan Android telah menjadi penyumbang utama kepada penurunan Symbian.

Menurut F-Secure, 66% daripada jenis malware yang dijumpai adalah dalam bentuk Trojan (iaitu malware yang berbentuk sebagai yang fail yang berlainan seperti .docx dan .jpeg). F-Secure juga percaya Google telah meningkatkan sistem keselamatan dengan memperkenalkan Android 4.2 atau lebih dikenali sebagai Jelly Bean, yang dapat mengurangkan risiko terhadap malware. Namun begitu, jika kita melihat statistik yang dikeluarkan Google, Android 4.2 hanya 1.6% digunakan oleh pengguna berbanding dengan variasi Android yang lain.


Pesanan SMS juga menjadi satu masalah utama selain daripada malware dimana 21 daripada 96 jenis ancaman Android datang daripada SMS premium yang sering mengalakan pengguna untuk memuat turun bahan atau fail yang tidak diketahui kandungannya yang akan menyebabkan masalah penambahan bil.Pengguna akan menyedarinya ketika surat bil mereka sampai di tangan mereka. Dalam pada itu, "mobile threat motivated by profit" atau keuntungan daripada ancaman malware mudah alih turut meningkat dari semasa ke semasa.

Sumber : techcrunch.com

7 March 2013

LTE di Malaysia

LTE atau 'Long Term Evolution' adalah satu lagi teknologi baru dalam bidang internet tanpa wayar berkelajuan tinggi. LTE atau dikomersialkan dengan nama 4G LTE adalah satu lagi standard dalam komunikasi tanpa wayar berkelajuan tinggi untuk telefon bimbit dan juga pangkalan data. LTE sebenarnya menggunakan teknologi rangkaian GSM/EDGE dan UMTS/HPA, namun dengan peningkatan pada kapasiti dan kelajuan menggunakan frekuensi radio yang berlainan dan penambahbaikan dalam sistem rangkaian.

LTE mampu untuk mencapai kelajuan muat turun setinggi 100Mbps dan mengurangkan beban trafik data daripada rangkaian 3G. Teknologi ini juga menjanjikan kualiti suara definisi tinggi (HD) melalui 'voice-over' LTE apabila ia dilancarkan di Malaysia kelak.

LTE dimajukan oleh 3GPP(3rd Generation Partnership Project) dan telah dilancarkan secara komersial buat kali pertama oleh TeliaSonera di OSlo dan Stockholm pada 14 Disember 2009.

Namun begitu, tidak seperti telefon pintar 3G, bilangan telefon pintar yang boleh memanfaatkan teknologi LTE yang menggunakan frekuensi 2600Mhz (Band 7) di negara ini adalah sedikit. Antara model telefon pintar di Malaysia yang boleh menikmati LTE adalah ASUS Padfone 2, Nokia Lumia 920 dan Lumia 820, Samsung Galaxy S III dan Note II dan Sony Xperia V.

LTE di Malaysia masih dalam peringkat pembangunan. Terdapat kemajuan yang memberangsangkan dalam progres pembangunan LTE di negara ini dengan pengumuman daripada pihak kerajaan tidak beberapa lama yang lalu di mana 9 blok spektrum untuk 4G LTE dijangka akan di keluarkan untuk 9 syarikat telekomunikasi utama di negara ini.

9 syarikat tersebut adalah dikatakan terdiri daripada

  • 4 syarikat telekomunikasi - Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile
  • 4 pengendali WiMax - AMAX, P1, REDtone dan YTL
  • dan sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Menurut sumber akhbar The Star, setiap syarikat akan menerima blok 20MHz yang berupa spektrum 2.5GHz dan 2.6GHz yang turut memuatkan blok 70MHz dan 120MHz.

Maxis menggunakan sepenuhnya peluang itu apabila menjadi syarikat telekomunikasi pertama melancarkan rangkaian LTE di negara ini untuk dinikmati oleh para pelanggannya. Dalam satu kenyataan rasmi, Maxis telah mengumumkan bahawa rangkaian LTE miliknya kini aktif di kawasan Taman Tun Dr. Ismail, Damansara Utama, Desa Sri Hartamas, Bandar Puchong Jaya, Bandar Sunway dan Cyberjaya. Maxis juga sudah membuat perancangan untuk meluaskan rangkaian LTE ini ke kawasan-kawasan lain di seluruh negara tidak berapa lama lagi.

Syarikat ini mendakwa rangkaian LTE miliknya mampu mencapai kelajuan 75Mbps dan mengatakan para pelanggannya boleh menikmati kelajuan purata antara 10Mbps hingga 30Mbps. Maxis juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan baru yang akan memanfaatkan rangkaian berkelajuan tinggi ini.

Celcom juga tidak jauh ketinggalan apabila mengumumkan akan melancaran rangkaian 4G LTE miliknya secara komersial pada bulan Februari tahun ini. Namun begitu, para pelanggan Celcom boleh mencuba kehebatan teknologi 4G LTE buat sementara waktu ini di Menara Celcom di Kuala Lumpur dan juga kiosk Blue Cube di Sunway Pyramid.

Sumber : Soya Cincau

5 March 2013

Malware Telefon Bimbit


Hari ini, telefon bimbit merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Telefon bimbit telah digunakan untuk tujuan selain daripada telefon seperti memeriksa e-mel, rangkaian sosial, mengambil gambar dan sebagainya. Namun, aspek keselamatannya masih dipandang ringan oleh ramai orang. Tanpa kita sedari keselamatan telefon adalah penting seperti komputer peribadi.

Malware telefon bimbit adalah satu perkara yang semakin meningkat seiring dengan perkembangan telefon bimbit. Kurangannya perhatian mengenai isu keselamatan dapat menarik perhatian penggodam di sekeliling kita. Kita berfikir bahawa portal rasmi yang tersedia adalah selamat untuk memuat turun aplikasi. Tetapi beberapa aplikasi dari portal rasmi telah terbukti dijangkiti dengan malware. Ini kerana malware boleh disorok dalam aplikasi dan seterusnya akan dipindahkan kedalam telefon. Soalan pertama yang kita fikirkan adalah, apakah malware ini boleh lakukan? Apabila telefon telah dijangkiti, maklumat pengguna akan terdedah kepada penggodam. Ini termasuklah senarai kenalan, mesej, IMEI, kata laluan yang disimpan, nombor kad kredit, dan lain-lain.

Sebagai tambahan, setiap telefon mempunyai nombor unik dipanggil identiti peranti mudah alih antarabangsa (IMEI). IMEI yang dicuri boleh digunakan untuk menipu senarai hitam IMEI untuk telefon bimbit dicuri. Berbanding dengan komputer peribadi, telefon mempunyai keupayaan untuk membuat panggilan telefon. Dengan kebolehan untuk mendail nombor kadar premium atau menghantar mesej teks kepada nombor itu, ini memudahkan penyerang untuk membuat wang dari malware pada telefon berbanding komputer peribadi. Akibatnya, kos penggunaan telefon melambung tinggi dengan beberapa panggilan dan sms yang tidak diketahui dicaskan kepada pengguna. Selain itu, telefon pintar boleh menentukan kedudukan sesuatu tempat dengan GPS, panggilan rekod suara dan lain-lain yang boleh digunakan untuk mengintip mangsa. Berdasarkan laporan oleh Symantec, penggodam boleh mendapat antara $1,600 dan $9,000 sehari dan mungkin lebih.

Kesedaran awam mengenai isu keselamatan dalam telefon bimbit adalah penting. Ambil beberapa langkah mudah memuat turun aplikasi daripada portal rasmi dengan memeriksa ulasan pengguna dan reputasi pengeluar sebelum memasang aplikasi. Tanpa pencegahan dan kawalan yang betul, anda mungkin menjadi mangsa serangan yang seterusnya.

4 March 2013

iPhone 300 kali lebih baik daripada telefon pintar Samsung?


Satu kaji selidik terbaru tentang pasaran telefon pintar oleh firma kaji selidik, Strategy Analytics telah menunjukkan keputusan yang agak menarik untuk diperkatakan. Meski pun terdapat isu mengenai pembekuan pengambilan pekerja oleh Foxconn di China yang merupakan pusat pemasangan iDevice anda, jualan iPhone 5 dan iPhone 4S tetap melebihi pesaing terdekat mereka, Samsung Galaxy S III sepanjang suku ke empat 2012.

Ini menjadikan iPhone 5 sebagai telefon pintar yang mempunyai jualan tertinggi di dunia. Tidak cukup dengan itu, iPhone 4S yang sudah berusia 16 bulan juga telah memintas jualan Samsung S III. Fakta yang pastinya membanggakan para pencinta iDevice !

Menurut data dari Strategi Analystics, Apple telah menjual 27.4 juta unit iPhone 5 dan 17.4 juta unit iPhone 4S di dalam suku ke empat tahun 2012. Sebagai perbandingan, Samsung hanya berjaya menjual 15.4 juta unit Galaxy S III.


Para penyelidik bersepakat mengatakan kejayaan iPhone 5 menguasai pasaran telefon pintar adalah disebabkan rekaan skrin sesentuhnya yang maju, selain pengedaran meluas ke lebih 100 buah negara di seluruh dunia. Kerjasama bersama syarikat-syarikat pembekal telekomunikasi juga membantu dalam kejayaan besar iPhone 5 ini.

Jualan iPhone 5 dan juga iPhone 4S apabila di gabung menunjukkan penguasaan satu per lima daripada semua jenis telefon pintar yang diedarkan ke seluruh dunia di dalam suku ke empat tahun 2012. Samsung Galaxy S III berada di tangga ke tiga dengan jualan sebanyak 15.4 juta unit.

Melihat kepada trend pasaran semasa, ternyata kedua-dua buah model, iPhone 5 dan juga Galaxy S III telah mencapai puncak jualan dengan Samsung yang telah melancarkan modelnya itu pada Mei 2012 telah mencapai jualan tertinggi sewaktu suku ke tiga 2012.

Namun satu fakta yang menarik untuk dikongsikan ialah ini merupakan kali pertama Apple mendominasi pasaran dan mempunyai dua model iaitu iPhone 5 dan juga iPhone 4S yang telah menduduki tangga pertama dan kedua dalam carta jualan telefon pintar tertinggi.

Dalam satu lagi penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat teknologi FixYa mengatakan iPhone merupakan model telefon pintar paling dipercayai di dalam pasaran, mengatasi pesaing terdekatnya Samsung. Kajian tersebut mengatakan iPhone adalah 300% lebih dipercayai berbanding Samsung. Menarik bukan?

Ini menerangkan lagi mengenai penguasaan jualan Apple di dalam suku keempat tahun 2012. Kajian mendalam FixYa dalam hal ini juga mengukuhkan lagi dakwaan ini apabila syarikat tersebut telah mengambil kira sejumlah 722 558 laporan masalah bersama-sama dengan data mengenai pasaran saham dari StatCounter sebelum mengeluarkan skor 'keboleh-percayaan' ini - dan Apple jauh meninggalkan para pesaingnya.

Apple telah memperoleh skor sebanyak 3.47, hampir 300% lebih tinggi dari Samsung yang hanya memperoleh 1.21. Sementara itu, Nokia menduduki tangga ke tiga dengan skor sebanyak 0.68. Motorola pula menerima nasib sebaliknya apabila menduduki tangga terbawah dengan skor sebanyak 0.13.

Antara isu atau masalah yang sering dilaporkan mengenai Apple adalah tentang jangka hayat bateri manakala pengguna Samsung pula melaporkan masalah mengenai mikrofon dan speaker.

CEO FixYA, Yaniv Bensadon berkata keputusan kajian itu adalah "tepat dan adil dalam membandingkan syarikat-syarikat gergasi ini untuk melihat siapa yang lebih dipercayai dan siapa yang sudah terkeluar dari saingan."

Sumber : Redmond Pie
Sumber : idownloadblog

28 February 2013

Firefox OS - Sistem Operasi dari Mozilla Firefox

Sistem Operasi Mozilla Firefox
Firefox OS - Sistem Operasi dari Mozilla Firefox - Mozilla melancarkan sistem operasi mobile yang di beri nama Firefox OS dengan sokongan beberapa syarikat telekomunikasi besar seperti Telefonica, Deutsche Telekom, Telenor dan China Mobile. Sistem operasi ini tertumpu pada platform yang berasaskan standard web terbuka dan aplikasinya dibangunkan dengan teknologi HTML5.

Berikut merupakan paparan interface Mozilla Firefox OS yang kelihatan amat unik serta mampu untuk bersaing mengatasi sistem operasi mobile lain seperti Android dan IOS


                              Tampilan Firefox OS


   Firefox OS Interface

Kehadiran Firefox OS dapat menambah persaingan di kancah sistem operasi mobile yang semakin rancak digunakan oleh pengguna Telefon Pintar di serata dunia . Sehubungan dengan itu, CEO Mozilla, Gary Kovacs, tetap yakin bahawa Firefox OS masih mempunyai peluang di tengah persaingan pasaran Sistem Operasi Mobile yang kian sengit.

Firefox OS di khabarkan  bakal di lancarkan untuk pertama kali di Brazil melalui salah satu pembekal di sana, iaitu Telfonica.  Persoalannya, mampukan Firefox OS berjaya menandingi kehebatan Sistem Operasi Android dan IOS yang berjaya menguasai 85 peratus pasaran telefon dunia? Mari kita sama- sama nantikan dan melihat sendiri keupayaan Sistem Operasi baru ini.

27 February 2013

'Jailbreak' iPhone, iPod, iPad - Keburukan


Soalan yang sering kami terima, adakah selamat meng-'jailbreak' iDevice seperti iPhone, iPad dan iPod. Untuk mengetahui keburukan meng-'jailbreak'. Sila baca ulasan kami. 

  1. Keselamatan. Apabila telah di'jailbreak', masalah utama timbul adalah masalah keselamatan. Terutamanya ia terdedah kepada pencurian maklumat secara 'remote'. Dalam keadaan tertentu, kata laluan asal yang digunakan tidak ditukar membolehkan penceroboh memasuki iDevice anda melalui SSH. Walaupun SSH tidak diaktifkan, kebarangkalian maklumat anda dicuri tetap ada.
  2. Tiada Penyulitan. Tahukah bahawa kebanyakkan maklumat yang disimpan dalam iDevice tidak disulitkan (NOT encrypted). Bermakna, semua maklumat disimpan dalam bentuk text asal, atau dalam kata mudah, BOLEH DIBACA DAN DIFAHAMI tanpa menggunakan sebarang perisian lain. Untuk kepastian, cuba dapatkan satu fail dalam directory ini. /var/mobile/Library/SMS/sms.db (ini adalah fail yang menyimpan kandugan SMS dalam iPhone) - cuba buka fail tersebut menggunakan SQLite. Perkara yang sama boleh diperolehi dari fail-fail yang menyimpan data seperti maklumat SMS, MMS, gambar, whatsapp dan lain lain. Bayangkan jika semua ini diperolehi dengan mudah?
  3. Tidak stabil. Kebanyakkan iDevice yang di'jailbreak' mengalami masalah ketidakstabilan. iDevice terpaksa di mulakan semula (samaada respring atau reboot). Ini menimbulkan masalah kepada penguna iDevice biasa. Tetapi dalam banyak kes, ketidakstabilan ini adalah dianggap minor oleh pengamal jailbreak.
  4. Bateri. Ketahanan bateri berkurang selepas di'jailbreak'. Isu ini adalah isu umum dan diakui oleh pengamal jailbreak. Ini juga adalah kesan dari ketidakstabilan aplikasi yang digunakan apabila pengguna telah meng-'jailbreak' iDevice mereka. Sebagai contoh penggunaan 'theme' dan aplikasi winterboard.
  5. Jaminan atau (warranty). iDevice yang telah di'jailbreak' akan HILANG jaminannya. Walaubagaimanapun ia masih boleh dikembalikan kepada keadaan asal dan dalam banyak kes ia masih terJAMIN.
  6. Apps. Ramai pengguna iDevice melaporkan tentang kesusahan menggunakan app selepas di'jailbreak'. Sama seperti ketidakstabilan iDevice, perisian juga tergangu. Sebagai contoh, pengguna melaporkan KEGAGALAN penggunaan Paypal dalam Apps tertentu.
  7. Masalah kemaskini. Apabila terdapat perisian atau firmware yang baru dikeluarkan oleh Apple, pengguna yang telah men'jailbreak' perlu mengelakan proses pengemaskinian kerana iDevice perlu di'jailbreak' semula. Ini bermakna, jika terdapat perisian baru dari Apple, iDevice tidak dapat dikemaskini dengan mudah. Kecuali, ianya dikemaskini dan dijailbreak semula.
  8. Jailbreak != App Percuma. Secara sah, dengan menjailbreak iDevice, ia tidak bermakna iDevice boleh menggunakan perisian percuma. Apps perlu dibeli juga. Kecuali jika tidak hiraukan masalah 'piracy'.
Jailbreak memang menarik, cuma pertimbangkan keburukan ini dahulu sebelum menghilangkan 'dara' iDevice. Selamat mencuba. :) 


Sebagai contoh, ini adalah antara masalah yang selalu dialami oleh pengguna iDevice yang telah di'jailbreak'.

Artikel asal diperolehi dari askbard.blogspot.com


Celcom Di Saman SKMM Kerana Spam SMS

Dalam satu kenyataan akhbar pada awal bulan ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memberi kompaun kepada 12 syarikat kerana melanggar syarat-syarat lesen mereka. Kompoun keseluruhan berjumlah RM260000.

Menurut SKMM, langkah yang diambil adalah berdasarkan kepada mereka yang gagal mematuhi garis panduan utama yang disediakan oleh SKMM, seperti menyertakan informasi berkenaan harga SMS pada permulaan, menggunakan bahasa yang mudah difahami, dan menyediakan cara mudah untuk nyah-langgan sesuatu kandungan SMS.

SKMM mengatakan mereka telah mengeluarkan amaran kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan, tetapi aduan daripada pengguna dikatakan semakin meningkat dari hari ke hari berkaitan dengan kualiti perkhidmatan dan sebagainya.

26 February 2013

Apa itu serangan DDoS?

DDoS merupakan akronim bagi perkataan Distributed Denial-Of-Services yang bermaksud Penafian Perkhidmatan Teredar. Ia merupakan salah satu bentuk serangan yang sering dilakukan oleh penggodam. Serangan DDoS mampu melumpuhkan sistem komputer atau sistem rangkaian mangsa. Serangan DDoS seringkali dilakukan kepada syarikat-syarikat yang berprofil tinggi dan berkepentingan luas seperti bank atau syarikat-syarikat besar.

Serangan DDoS ini boleh menyebabkan pelayan (server) tidak mampu memberi perkhidmatan kepada pelanggan (client) yang memerlukannya. Bayangkan sekiranya perkhidmatan bank tergendala selama satu jam, ia mampu memberi kerugian yang amat besar kepada bank tersebut. Bukan itu sahaja, malah ia membuka jalan baru kepada penggodam untuk melancarkan serangan seterusnya.

Antara serangan DDoS yang terkenal ialah cecacing (worm) 'Code Red' pada tahun 2001. Serangan DDoS ini diedarkan menggunakan cacing tersebut dan melancarkan serangan menggunakan teknik 'packet-flooding' terhadap mangsanya.  Kesan daripada serangan ini telah  menyebabkan jutaan pengguna terjejas.


Serangan terbaru, iaitu serangan terhadap Bank Of West dan syarikat Ascent Builders yang berlaku pada 24 Disember 2012 iaitu diambang Hari Krismas. Penggodam telah mencuri katakunci perkhidmatan bank daripada syarikat tersebut mengunakan perisian perosak (malware) dan mengalihkan laman web bank kepada laman web yang mengandungi mesej kesilapan (error message) yang mengatakan sistem bank tersebut telah lumpuh selama 24 jam.

Namun setelah pihak syarikat tersebut menghubungi bank untuk mendapat kepastian, bank tersebut mengalami serangan DDoS sehingga menyebabkan laman web syarikat tersebut lumpuh sepenuhnya.

Setelah disiasat, syarikat tersebut telah menjalankan transaksi sejumlah wang yang sangat besar ke syarikat-syarikat lain tanpa pengetahuan mereka. Sehingga kini Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) masih lagi menyiasat kejadian tersebut [1].

[1] http://krebsonsecurity.com/2013/02/ddos-attack-on-bank-hid-900000-cyberheist

25 February 2013

10 Apps Cydia Terbaik

Sejak evasi0n dilancarkan untuk membolehkan para pengguna melakukan 'jailbreak' ke atas iDevice mereka, pelbagai carta 'top 10' dikeluarkan tentang aplikasi-aplikasi Cydia yang boleh di muat turun ke dalam iDevice.

Namun, bagi kami di Cabang Pokok, ini pilihan kami !

1. SBsetting



Ini merupakan apps terbaik pilihan kami. Pada kebiasaannya pengguna harus membuka aplikasi 'Settings' dan terpaksa melalui pelbagai pilihan tetapan sebelum boleh melakukan perubahan. Namun dengan SBsetting, anda boleh menukar pelbagai tetapan seperti membuka atau menutup WiFi, plan data telefon dan kecerahan skrin iDevice dengan mudah. Pengguna hanya perlu meleretkan jari di atas 'status bar' iDevice dan kemudiannya terus menekan ikon-ikon tetapan yang berkenaan. SBsetting juga boleh di ubah suai mengikut kemahuan anda dengan meletakkan jenis tetapan yang anda sering gunakan.







2. Springtomize



Ini merupakan apps yang membolehkan anda mengubah suai rupa 'Springboard' mengikut kesukaan anda. Pelbagai jenis modifikasi boleh dilakukan seperti mengubah warna latar 'Springboard',. meletakkan animasi ke dalam ikon-ikon aplikasi anda, mengubah paparan 'lock screen' iDevice dan banyak lagi.












3. Barrel




Barrel akan membuatkan iDevice anda lebih bernyawa ! Apabila anda menggunakan Barrel, anda boleh memuatkan pergerakan 3D terhadap 'Springboard' anda. Bayangkan anda sedang meleretkan jari di atas skrin untuk mengubah halaman paparan 'Springboard', tetapi kali ini dengan efek 3D!










4. BiteSMS

BiteSMS adalah satu apps yang membuatkan aktiviti ber-sms menjadi lebih menarik. Melalui BiteSMS, pelbagai fungsi-fungsi baru telah dimasukkan seperti kebolehan untuk melengahkan penghantaran sms buat seketika (sangat berguna jika anda secara tiba-tiba tersedar terdapat kesalahan di dalam sms tersebut atau tersilap menghantar pesanan itu kepada orang lain !). BiteSMS juga membolehkan anda untuk membalas pesanan pada bila-bila masa meski pun anda sedang menggunakan sesuatu aplikasi lain pada waktu itu - ini termasuklah dari 'lock screen' iDevice anda. Anda hanya perlu menekan ikon BiteSMS yang akan terpapar semasa pesanan masuk, dan anda boleh terus membalasnya tanpa perlu membuka aplikasi 'Messages'.





5. Zephyr




Anda gemar menggunakan pelbagai aplikasi pada satu-satu masa? Zephyr mungkin menjadi kesukaan anda. Zephyr membolehkan pengguna menukar dari satu aplikasi ke aplikasi lain dengan mudah. Pengguna hanya perlu meleretkan jari merentasi skrin iDevice untuk menukar aplikasi yang sedang berjalan. Pengguna juga boleh meleretkan jari mereka ke arah atas untuk memaparkan senarai aplikasi yang sedang digunakan.










6. Auxo



Auxo juga merupakan pilihan bagi pengguna yang gemar menggunakan pelbagai aplikasi pada satu-satu masa. Auxo akan memaparkan senarai aplikasi yang sedang anda gunakan. Jika anda mahu menutup sebarang aplikasi, anda hanya perlu meleretkan jari anda ke bawah untuk membuang aplikasi tersebut dari senarai Auxo. Mudah?







7. Swipeselection




Semestinya semua pengguna iDevice pernah merasa bagaimana untuk memilih dan menggelapkan sesuatu perkataan atau ayat untuk di buat salinan (copy-paste). Lambat dan menyusahkan. Namun dgn Swipeselection, pengguna boleh melakukannnya dengan mudah. Ianya terasa seperti melakukannya menggunakan 'desktop pc' yang biasa kita gunakan. Pengguna hanya perlu meleretkan jari di atas papan kekunci virtual iDevice untuk memilih ayat di dalam mana-mana dokumen.








8. IntelliScreenX


IntelliScreenX merupakan satu aplikasi yang menghimpun semua aplikasi kegemaran anda di satu tempat. Jadi, jika anda merupakan pengguna tegar BiteSMS, RSS, Twitter, Facebook, anda tidak perlu risau tentang keperluan untuk mencari setiap satu apps melalui 'Springboard' anda. IntelliScreenX akan membantu supaya anda dapat mengakses semua aplikasi kegemaran anda di satu tempat yang sama.


9. iProtect



iDevice anda selalu dipinjam oleh rakan-rakan dan terdapat pesanan-pesanan sulit atau gambar yang tidak mahu di lihat oleh mereka? iProtect adalah apps terbaik untuk anda. iProtect membolehkan anda menetapkan kata kunci untuk setiap apps yang anda ingin lindungi. Contohnya, apabila anda ingin membuka aplikasi Twiiter, anda perlu memasukkan kata kunci sebelum boleh mengaksesnya.










10. CallBar


Bayangkan situasi di mana anda sedang menggunakan aplikasi yang penting, tiba-tiba satu panggilan masuk, dan skrin 'incoming call' terpapar dan mengganggu anda yang sedang menggunakan aplikasi. Ini semestinya sangat mengganggu bukan? CallBar akan melenyapkan situasi tersebut. Ini kerana, melalui CallBar, setiap panggilan masuk akan memaparkan hanya satu 'bar' kecil di bahagian atas skrin iDevice anda tanpa menutup atau mengganggu penggunaan aplikasi lain. Anda hanya perlu meleretkan jari anda di atas ikon CallBar yang terpapar untuk menjawab atau menamatkan panggilan.




22 February 2013

Malware Mac OS X Terbaru: Pintsized

Satu backdoor Trojan yang baru untuk OS X muncul dengan percubaan untuk membentuk satu sambungan yang selamat (secure connection) kepada penggodam dan memberi laluan kepada mereka untuk menyusup masuk dan mencuri maklumat-maklumat sulit.

Malware tersebut yang diberi nama, 'Pintsized' oleh Intego disyaki menggunakan OpenSSH yang telah di ubah suai untuk membentuk satu 'reverse shell' yang akan memberikan sambungan yang selamat kepada pelayan luar (remote server).

Penggunaan sambungan yang telah di-sulit (encrypt) membuatkan malware ini susah untuk di kesan dan dijejaki, lebih-lebih lagi apabila ia menggunakan protokol SSH. Tambahan pula, malware ini mencuba untuk menyembunyikan dirinya sendiri dengan menyamarkan fail-failnya untuk kelihatan seperti komponen sistem cetakan OS X, khususnya yang berikut:
  •   com.apple.cocoa.plist
  •   cupsd (Mach-O binary)
  •   com.apple.cupsd.plist
  •   com.apple.cups.plist
  •   com.apple.env.plist
Intego tidak menyatakan di mana fail-fail ini diletakkan di dalam OS. Namun seperti malware-malware OS X sebelum ini, ia memerlukan satu cara untuk melancarkan malware tersebut secara automatik apabila sistem dimulakan atau pengguna mendaftar masuk. Malware ini mengeksploitasi pelbagai direktori agen pelancar (Launch Agents) yang terdapat di dalam sistem OS X untuk mencapat matlamat tersebut.

Oleh itu, untuk mengesan malware terbaru ini, buka dan semak direktori-direktori berikut untuk mengesan kehadiran mana-mana fail yang tersebut di atas:
  •   /System/Library/LaunchDaemons
  •   /System/Library/LaunchAgents
  •   /Library/LaunchDaemons
  •   /Library/LaunchAgents
  •   ~/Library/LaunchAgents

Oleh kerana pembuat Malware menggunakan direktori dan fail di atas sebagai platform untuk melancarkan malware mereka di dalam sistem OS X, satu cara mudah untuk mengesan salah guna direktori-direktori tersebut adalah untuk menetapkan satu sistem pemantauan yang akan memaklumkan anda apabila ada fail baru yang dimasukkan ke dalam direktori tersebut.


Selain cara di atas, anda juga boleh meletakkan 'reverse firewall' seperti Little Snitch untuk memantau jika terdapat program yang cuba untuk melakukan sambungan kepada pelayan luar.

Setakat ini, masih belum diketahui bagaimana malware ini melakukan serangannya, sama ada ia mengeksploitasi kelemahan-kelemahan yang telah dikesan sebelum ini atau yang masih belum dapat di kesan. Walau bagaimanapun, malware ini dikhabarkan masih belum tersebar luas. Namun, jika anda melakukan pemeriksaan ke atas direktori-direktori seperti di sebut di atas untuk mengesan kehadiran malware ini, anda boleh menentukan sama ada sistem anda bebas daripadanya atau pun tidak.

Antara malware yang pernah di kesan di dalam Mac OS X adalah :
Sumber: CNet

21 February 2013

evasi0n Jailbreak

Para pengguna gajet Apple semestinya gembira dengan pengumuman perlancaran perisian menggodam sistem operasi Apple terkini (iOS 6), Evasi0n, pada 4 Februari yang lalu. Perisian yang lebih dikenali dengan 'Jailbreak' telah dilancarkan oleh pihak Evad3rs.

Evader3s dianggotai oleh empat orang pakar komputer dan penggodam dalam arena Jailbreaking ini iaitu Nikias Bassen (Pimskeks), Planetbeing (David Wang), Pod2g (Cyril) dan MuscleNerd. 


Jailbreak adalah satu aktiviti menggodam sistem operasi yang dibangunkan oleh Apple Inc. Ini membolehkan pengguna gajet Apple untuk mendapat akses sepenuhnya ke dalam sistem operasi tersebut. Pengguna kemudiannya boleh memanipulasi gajet Apple mereka (iDevice) seperti memasukkan program dan aplikasi menarik secara percuma. Pelbagai modifikasi boleh dibuat ke atas iDevice dengan menggunakan aplikasi Cydia setelah melakukan Jailbreak.

Jailbreak Evasi0n yang dilancarkan ini boleh digunakan ke atas iDevice di bawah :
  • iPhone 5
  • iPhone 4S
  • iPhone 4
  • iPhone 3GS
  • iPad 4
  • iPad 3
  • iPad Mini
  • iPod Touch 4
  • iPod Touch 5
Sistem operasi (iOS) yang boleh digodam menggunakan Evasi0n :
  • iOS 6.0
  • iOS 6.0.1
  • iOS 6.0.2
  • iOS 6.1
Hanya Apple TV3 yang masih kekal sebagai iDevice yang tidak dapat digodam. Alat Jailbreak Evasi0n boleh dimuat turun di laman web Evasi0n.

Maklumat lanjut mengenai cara melakukan Jailbreak ke atas iDevice boleh didapati di sini.

Sumber : Redmond Pie

20 February 2013

"Wine" untuk Android?


"Wine" untuk Android membolehkan aplikasi Windows dilarikan dalam pemproses yang berasaskan ARM. Sebelum ini Wine telah membolehkan aplikasi Windows dilarikan dalam pelbagai sistem operasi seperti Linux, Mac OS dan BSD. Sehingga hari ini, beribu-ribu aplikasi Windows telah diserasikan supaya ia boleh dilarikan dalam sistem operasi disebut tadi.

Alexandre Julliard, pemaju di sebalik Wine, mengemaskini projek tersebut supaya ianya mesra-ARM dan menunjukkan versi yang berjalan dalam Android di satu persidangan. Persidangan percuma tersebut khas untuk pengemar sumber terbuka - FOSDEM 2013. Menurut artikel yang dikeluarkan oleh Phoronix, demo aplikasi Windows berjalan pada Android dikategorikan "sangatlah perlahan" tetapi beliau berkata ianya kerana sampel aplikasi Windows tersebut dilarikan dalam emulator Android. Kini, Wine untuk Google Android OS dikatakan sedang aktif dibangunkan. Tidak mustahil dalam masa terdekat kita akan melihat aplikasi Windows akan dilarikan dalam semua tablet yang berasaskan Android OS.

Kabel Dasar Laut Malaysia dan Hong Kong: Cahaya Malaysia

Cahaya Malaysia adalah sebuah sistem kabel dasar laut antarabangsa yang dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad (TM). Ianya menghubungkan Tseung Kwan O, Hong kong dengan Malaysia.

Pembinaan yang telah bermula pada Januari 2011 yang lalu dan milik penuh TM. Talian ini menggunakan sambungan gentian optik dari Asia Submarine kabel Express (ASE). ASE menghubungkan Malaysia ke Jepun, Hong Kong, Filipina dan Singapura. Merentasi jarak lebih 7800 km, sistem kabel ini mampu untuk menahan kerosakan gempa bumi dan taufan serta meliputi jarak terpendek ke Jepun. Ia telah membawa trafik internet antara Malaysia dan Jepun sejak Ogos 2012. Pemasangan akhir telah selesai pada awal bulan ini, dan kini beroperasi sepenuhnya dengan menghubungkan Malaysia, Hong Kong dan Jepun.



Teknologi optik ini menggunakan 40Gbps. Cahaya Malaysia boleh mencapai kapasiti sehingga 10Tbps. Teknologi ini meningkatkan prestasi penghantaran gentian optik dengan menggunakan pemprosesan isyarat digital berkelajuan tinggi (DSP) yang membenarkan transmisi jarak jauh berkapasiti tinggi. Ia juga telah direka untuk menyokong teknologi 100Gbps, yang berupaya menyokong kemajuan teknologi pada masa hadapan.

Sistem ini juga berupaya meningkatkan keupayaan TM untuk memenuhi jangkaan dan keperluan industri serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Hab Pusat Data Serantau menjelang 2015 dengan sokongan dari VADS Berhad.



Masa kini, TM memiliki lebih daripada 10 sistem kabel dasar laut, yang merangkumi lebih daripada 60,000 batu laluan fiber di seluruh dunia, termasuk beberapa laluan kabel dasar laut yang diguna pakai untuk membawa trafik antara rantau Asia Pasifik dan Amerika Utara.

TM juga mempunyai beberapa sistem kabel dasar laut lain di rantau ini seperti, AAG, SMW3, SEA-ME-WE4 (SMW4), APCN2 dan Batam-Dumai-Melaka (BDM), termasuk sistem terbaru Cahaya Malaysia.


Sistem Pengoperasian Ubuntu untuk Tablet

Canonical, sebuah syarikat besar di sebalik sistem operasi Ubuntu Linux akan mengeluarkan Developer Preview versi telefon pintar. Canonical telah mendedahkan bahawa pada 19 Februari 2013, satu pengumuman yang berkaitan dengan tablet telah dibuat. Dengan bertemakan "tick, tock, tablet time" dihiasi kiraan masa sebelum pelancaran di laman web Ubuntu, ia kelihatan seolah-olah Canonical akan mengemaskini OS tablet selaras dengan versi telefon pintar yang akan dikeluarkan pada bulan Oktober nanti.

Kini, pasaran tablet menjadi semakin popular dengan wujdnya beberapa syarikat bersaing dalam pasaran, yang sebahagian besarnya dikuasai oleh Apple. Sebagai contoh, pengeluaran Android pada permulaannya agak kurang memberangsangkan, tetapi telah bertambah baik dengan pengeluaran beberapa versi seperti Nexus 7 dan disokongi beberapa telefon pintar dan tablet dari Samsung. Microsoft juga telah mencipta beberapa ciri hebat tablet dengan pengenalan Surface RT dan baru-baru ini pada Surface Pro.


Sebarang maklumat mengenai Ubuntu untuk Tablet boleh dilayari di sini.